Followers

Saturday, March 16, 2013

Reda terima musibah diampun dosa

ORANG yang beriman sepatutnya mengetahui, memahami dan meyakini konsep takdir Allah.

Allah takdirkan di kalangan manusia ada yang cacat, dipanjangkan umur dan sebagainya.

Semua perkara yang berlaku dalam urusan perjalanan hidup kita semuanya berada dalam lingkungan takdir Allah. Firman Allah bermaksud: "Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu." (Surah Ar-Ra'd, ayat 8).

Abdullah bin Mas'ud berkata: "Aku menemui Rasulullah SAW ketika Baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok Baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah SAW bersabda: "Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekali gus. Rasulullah bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi: Setiap Muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan daripada sakitnya, seperti daun yang gugur dari pokoknya." (Hadis Riwayat Muslim).

Cara berhadapan dengan takdir

Reda dengan takdir Allah sama ada baik atau buruk. Sesungguhnya Allah Maha Adil dan Amat Mengetahui Bersyukur sekiranya menerima takdir baik

Bersabar sekiranya ditakdirkan dengan sesuatu yang tidak baik (pada pandangan kita), mungkin ada hikmah tertentu

Sentiasa berusaha dan berwaspada kerana ia cara hidup Islam dan ibadah

Sentiasa berdoa dan bertawakal

Wednesday, March 6, 2013

5 Kelebihan Berbaik Sangka & Berfikiran Positif


Berbaik sangka terhadap orang lain merupakan suatu yang mulia dan bakal menarik lebih ramai prospek serta rezeki ke dalam kehidupan anda. Antara kelebihan berbaik sangka adalah seperti berikut:

1. Jiwa Akan Menjadi Tenang & Sentiasa Memikirkan Perkara Yang Positif!

Tidak kiralah suratan ataupun kebetulan, jika kita secara tidak sengaja bertemu dengan orang yang pernah menyakiti kita dari segi fizikal ataupun mental, kita akan menjadi tenang apabila berhadapan dengan mereka.

Jika kita sentiasa bersangka baik, perasaan kita akan menjadi sentiasa tenang dan dipenuhi dengan senyuman walaupun kita berhadapan dengan orang-orang yang pernah memberikan pengalaman buruk kepada hidup kita.

2. Menjauhi Daripada Racun Perosak Jiwa Yang Negatif!

Racun perosak jiwa ini amatlah berbahaya kepada semua manusia kerana ia boleh meracuni dan membunuh sifat-sifat positif yang tertanam dalam hidup kita sejak azali lagi. Racun ini menyebabkan manusia semakin mementingkan diri.

Setelah racun ini memasuki jiwa manusia, kita akan sering berfikiran negatif dan sering berburuk sangka serta menyalahkan orang lain dalam apa jua keadaan sekalipun. Ia bakal menimbulkan perselisihan, perpecahan serta perperangan!

3. Sentiasa Memulakan Andaian yang Baik-Baik Sahaja!

Sudah menjadi kebiasaan naluri manusia akan mula memikirkan perkara-perkara yang tidak baik dahulu berbanding perkara-perkara yang baik. Jadi jika kita asyik memikirkan andaian yang buruk, kita akan diselubungi ketakutan serta kegelapan sehingga menjejaskan jualan produk.

Jika kita sentiasa mengamalkan sentiasa berprasangka baik serta berfikiran positif dalam apa juga situasi, secara tidak langsungnya kita akan membentuk satu tabiat dalam diri kita untuk berfikir mengenai perkara yang positif sahaja. Ini mampu membantu anda menjual produk dengan lebih baik.

4. Anda Akan Sentiasa Berasa Bertuah Dan Bersyukur!

Jika jiwa kita tenang, pasti apa yang kita lakukan akan dirasakan begitu seronok dan terhibur. Bersangka baiklah kepada sesiapa juga prospek/pelanggan yang kita temui, sudah pasti ia akan memberikan impak yang baik juga bukan setakat diri kita sahaja malah kepada prospek/pelanggan yang kita temui sekali.

Apabila kemesraan dapat di wujudkan, komunikasi akan berjalan lancar dan keghairahan kita melakukan jualan akan lebih terserlah lagi. Pasti tuah yang kita harapkan akan menjelma sekali bersama dengan usaha yang telah kita lakukan secara bersungguh-sungguh. Kita juga akan menjadi lebih bersyukur.

5. Segala Urusan Anda Dipermudahkan!

Jiwa yang tenang serta hati yang bersih pasti dapat memberikan semangat untuk bertemu prospek/pelanggan dengan cara tugasan yang cukup disenangi kepada sesiapapun yang kita temui. Berbaik sangka dengan permulaan salam dan senyuman yang manis pasti memikat sesiapapun juga yang kita hampiri.

Bila hati dan jiwa kita semakin tenang serta ceria, pasti jualan yang kita bakal lakukan ini boleh dikendalikan, kemudikan dengan baik dan menjadi sesempurna yang termampu untuk memikat hati dan perasaan prospek/pelanggan menerima tawaran yang ditawarkan.

Firman Allah S.W.T. bermaksud

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani” (Surah Al-Hujurat ayat 12).

Pasti ada hikmahnya jika dalam ayat Al-Quran turut menyeru kita supaya tidak mudah berprasangka buruk, menghakimi orang lain serta membuat andaian yang bukan-bukan ataupun mengarut sebelum mengetahui perkara tersebut dengan lebih mendalam.

Kita yang ingin melakukan jualan amatlah memerlukan sikap yang positif serta berprasangka baik terhadap orang lain yang kita temui. Sikap tenang dan sabar sentiasa akan membawa kepada kunci sebuah kejayaan yang gemilang dalam apa jua yang anda usahakan.

Berbaik sangkalah sesama manusia yang lain, nescaya hidup anda akan menjadi lebih tenang, lebih ceria, lebih bahagia serta dimurahkan rezeki disamping segala urusan anda akan sentiasa dipermudahkan.

Baca selanjutnya http://www.majalahniaga.com/5-kelebihan-bersangka-baik-sebelum-menjual.html#ixzz2MhDyCKYa
Follow us: @majalahniaga on Twitter | majalahniaga on Facebook

Naz~Lama sudah blog nie bersawang. Terima kasih buat follower2 dan visitors yang masih sudi bertandang dan berikan komen. <3 u all!!!