Followers

Thursday, February 17, 2011

BerCinta dengan Rasululllah..S.A.W Pepatah...

Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.

Tidak hairanlah dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.

Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.

Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.

Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyah tersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada Tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.

Kenal Allah, Baru Ibadat

Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka belum mengenal Allah. Apabila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitu melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.

Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah saw.. Bagaimanakah agaknya cara untuk menzahirkan perasaan cinta kepada Baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah saw..

Mengenal Rasulullah saw., antara lain bermaksud kita tahu apa yang Baginda suka dan apa yang Baginda benci atau apa yang Baginda suruh dan apa yang Baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang Baginda suka atau masih membuat perkara yang Baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan Baginda saw..

Suami Isteri

Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.

Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah saw.. Tidak sempurna cinta kita kepada Baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Memperlekeh & Membenci??

Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah Baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai Baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran Baginda?

Jika Rasulullah saw. tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak Adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.

Jika Rasullullah saw. menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati Baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika Baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.

Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.

Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung dalam kedua-duanya.

Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan periuk nasi kita.

Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.

Berarak Sahaja Tidak Cukup

Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah saw. tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan Baginda. Sesungguhnya, kasihkan Baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji Baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan Baginda kepada kita semua, iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.

Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah saw.. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama Baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.

Naz ~ Cuba mengupdate dicelah2 kesibukan yang melanda. Rasanya belum terlewat utk aku ucapkan Salam Maulidurrasul buat semua...

Sunday, February 13, 2011

Menyambut Hari Memperingati Kekasih ( Valentine's day) Hukumnya Haram di Sisi Islam

Sumber : email

Di dalam Islam terdapat perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi S.A.W. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”
(Hadis riwayat Nasaai)

Selepas kurun ke 3 Hijrah, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulidur-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Christmas, Deepavali , Thaipusam, Hari Halloween
dan juga Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) yang sedang kita perbincangkan ini.

Terdapat larangan daripada baginda S.A.W. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis Nabi S.A.W yang lain bermaksud : "“Sesiapa yang reda dengan kufur maka dia menjadi kufur"

Sahabat yang dimuliakan,
Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Setiap tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini namun ianya tidak di hiraukan oleh golongan remaja dan muda-mudi umat Islam, mereka tetap menyambut dan meraikannya.

Oleh itu untuk menyedarkan umat Islam terutama mereka yang sedang bercinta sebenarnya hari tersebut mempunyai kaitan dengan sejarah agama Kristian, sejarah Rom Kuno dan sejarah mereka bergembira kerana kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol . Hari Memperingati Kekasih tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.
Terdapat 3 pendapat kenapa orang Kristian menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) :

Pendapat Pertama : Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat Kedua : Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari.

Pendapat Ketiga : Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Kristian dan Rom Kuno sebagaimana yang telah penulis paparkan di atas. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine dan menyambut peristiwa yang berlaku semasa Rom Kuno jelas akan menjejaskan akidah Islam, maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih juga seolah-oleh kita reda dengan kegembiraan orang Kristian merayakan kemenangan mereka menjatuhkan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yang mana sejarah terlah menceritakan ratusan ribu umat Islam disembelih, masjid ditukar menjadi gereja dan hukum-hukum Islam telah ditukar dengan hukum-hukum menurut agama meraka. Adalah sesuatu yang amat memalukan jika kita bersekongkol dengan orang kafir untuk meraikan hari tersebut. Jika ini berlaku maka kita telah mendedahkan diri kita untuk mendapat kemurkaaan Allah S.W.T kerana terang-terang perayaan tersebut menentang hukum-hukum Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,
Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Memperingati Kelasih (Valentine's day) sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.

Tambahan pula sambutan ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tentang hukum menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32)

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar arus perdana, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah S.W.T.. Firman-Nya yang bermaksud : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)".
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya yang bermaksud : "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".(Surah al-Hijr ayat 39-40)

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Memperingati Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Naz ~ Tak perlu la celebrate... lebih baik kita g dengar ceramah agama kat mesid. Tu lebih baik...

Zakat Emas

Emas adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.
At- Taubah; ayat 34-35



Zakat emas dikira dalam dua keadaan.


1. Emas yang tidak dipakai (disimpan)

Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM6,000 x 2.5%
Jumlah zakat = RM 150

2. Emas yang dipakai

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.

Contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 150g ram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram - 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.9

Rujukan : http://zakat.com.my/zakat-emas

Naz ~ Simpanlah emas mulai skrg demi masa depan anda...

Saturday, February 12, 2011

Kisah Rahsia di Sebalik Sembahyang Lima Waktu

Ali bin Abi Talib r.a. berkata,

"Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para
sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan
tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang
Yahudi lalu berkata,

'Ya Muhammad, kami hendak bertanya
kepada kamu kalimat-kalimat yang telah
diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s.
yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi
utusan Allah atau malaikat muqarrab.'

Lalu Rasullullah saw bersabda,

'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi,

'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu
yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

Sabda Rasullullah saw,


'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari,
maka bertasbihlah segala sesuatu kepada
Tuhannya.
Sembahyang Asar itu ialah saat
ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah
menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap
mukmin yang bersembahyang Maghrib
dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa
meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah
akan mengkabulkan permintaannya.

Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang
dikerjakan oleh para Rasul sebelumku.

Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit
matahari. Ini kerana apabila matahari terbit,
terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di
situ sujudnya setiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan
dari Rasullullah saw, lalu mereka berkata,

'Memang benar apa yang kamu katakan itu
Muhammad. Katakanlah kepada kami apakah
pahala yang akan didapati oleh orang yang
sembahyang.'

Rasullullah saw bersabda,

'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama
sembahyang yang pertengahan.
Sembahyang
Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka
Jahanam. Orang-orang mukmin yang
mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan
diharamkan ke atasnya wap api neraka
Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah saw lagi,


'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di
mana Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.
Orang-orang mukmin yang mengerjakan
sembahyang Asar akan diampunkan dosanya
seperti bayi yang baru lahir.'

Selepas itu Rasullullah saw membaca ayat yang
bermaksud,

'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama
sekali sembahyang yang pertengahan.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana
taubat Nabi Adam a.s. diterima. Seorang
mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang
Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada
Allah, maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah saw,


'Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur
itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada
hari Kiamat, maka seorang mukmin yang
berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi
menunaikan sembahyang Isyak berjamaah,
Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena
nyala api neraka dan diberikan kepadanya
cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.'

Sabda Rasullullah saw seterusnya,

'Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin
yang mengerjakan sembahyang Subuh
selama 40 hari secara berjamaah, diberikan
kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan
iaitu:

1.
Dibebaskan daripada api neraka.
2.
Dibebaskan dari nifaq.


Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan
daripada Rasullullah saw, maka mereka berkata,

'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu
wahai Muhammad (saw). Kini katakan pula
kepada kami semua, kenapakah Allah SWT
mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'

Sabda Rasullullah saw,

'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon
khuldi yang dilarang, lalu makanan itu
tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama
30 hari. Kemudian Allah SWT mewajibkan ke
atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30
hari. Sementara diizin makan di waktu malam
itu adalah sebagai kurnia Allah SWT kepada
makhluk-Nya.'

Kata orang Yahudi lagi,

'Wahai Muhammad, memang benarlah apa
yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada
kami mengenai ganjaran pahala yang
diperolehi daripada berpuasa itu.'

Sabda Rasullullah saw,

'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan
Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah SWT,
dia akan diberikan oleh Allah SWT 7 perkara:

1.
Akan dicairkan daging haram yang
tumbuh dari badannya (daging yang
tumbuh daripada makanan yang
haram).
2.
Rahmat Allah sentiasa dekat
dengannya.
3.
Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
4.
Dijauhkan daripada merasa lapar dan
dahaga.
5.
Diringankan baginya siksa kubur (siksa
yang amat mengerikan).
6.
Diberikan cahaya oleh Allah SWT
pada hari Kiamat untuk menyeberang
Titian Sirath.
7.
Allah SWT akan memberinya
kemudian di syurga.'


Kata orang Yahudi,

'Benar apa yang kamu katakan itu
Muhammad. Katakan kepada kami
kelebihanmu di antara semua para nabi.'

Sabda Rasullullah saw,

'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya
untuk membinasakan umatnya, tetapi saya
tetap menyimpankan doa saya (untuk saya
gunakan memberi syafaat kepada umat saya
di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi,

'Benar apa yang kamu katakan itu
Muhammad. Kini kami mengakui dengan
ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa
annaka Rasulullah (kami percaya bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau
utusan Allah).'


Sedikit peringatan untuk kita semua:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan
kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah
berita gembira kepada orang-orang yang sabar."

(Surah Al-Baqarah: ayat 155)

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari
kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat
siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."

(Surah Al-Baqarah: ayat 286)

Naz ~ Bersembahyanglah sebelum disembahyangkan (peringatan kpd diri sendiri)

Sunday, February 6, 2011

Terima kasih buat followers semua

Assalamualaikum wbt buat semua pengunjung setia blog KotakEmail. Sedar tak sedar dah 2 tahun blog ni beroperasi sejak bulan Feb 2009. Dan selama itulah sebahagian dpd email2 yang aku dapat, aku kongsikan kat sini. Dengan harapan apa yang baik boleh dijadikan panduan dan pelajaran. Terima kasih tak terhingga buat mereka2 yang tak putus2 menghantar email2 yang berinfomasi kepada aku selama ini.

Pada tahun pertama blog ni diwujudkan, setiap hari ada saja posting baru dan aku time tu amat rajin membalas komen2 korang. Bila masuk tahun kedua, aku tak dapat kekalkan prestasi mcm tu dan jarang membuat posting (walaupun just copy paste dari email :p). Aku minta maaf jika kebanyakan komen2, aku x balas. Walaupun aku tak balas, aku tetap baca dan membuat kunjungan balas ke blog korang jika ada kelapangan. Terima kasih tak terhingga buat pengomen2 setia blog nie.

Melalui blog nie jugak, aku dapat ramai kawan2 bloggers. Antaranya bro Hysman, Dr.Hana, cik Reen, cik Anis, kak Nurul, kak Lin, cik Mynna, Fina, Bro Epui (wallaweii), bro Amirul & wife, cik Cookie, cik Ayu, bro Azly (tokey bengkel), kak Atie, cik Hanim, cik Aleen, bro Jantan Keparat, cik Ain, cik Balqis, bro Mamai, Tengku, cik Seri, kak Ida, cik Sufy, cik Ezora (cik Pora), bro Framestone, dan ramai lagi bloggers2 hebat yang mungkin aku terlupa masukkan korang. Kalo nama korang tertinggal, sila 'gegar' kat ruangan komen yer... hehehehe....

Buat follower2 baru, selamat datang aku ucapkan. Kalau ada email2 yang menarik dan berguna, bolehlah sent kat okeyhh@gmail.com. Sharing is caring bak kata omputeh. Jika kita berkongsi 1 perkara yang baik, perkara2 yang baik2 juga akan datang kpd kita. Apa yang penting??? Kerjasama... Ahaks...

Salam sayang buat korang semua. Jaga diri baik2... Yang baru balik dr bercuti raya cina tu, rehat cukup2. Nanti kerja letih la pulak. Semoga semakin bersemangat untuk mengharungi kehidupan yang mendatang nie... ;)

Naz ~ Dah 500 org yang follow blog nie. Terima kasih...terima kasih...terima kasih... :D

Thursday, February 3, 2011

Siapa Dua Golongan Penghuni Neraka?

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Ada dua golongan yang bakal menjadi penghuni neraka iaitu pertama golongan penguasa yang mempunyai cemati-cemati bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang.Ini bermaksud, penguasa yang zalim. Kedua, perempuan yang hanya berpakaiaan tetapi sebenarnya dianggap bertelanjang iaitu membogel, berlenggang-lenggok sewaktu berjalan dengan menghayun bahu.Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidaklah akan masuk syurga dan tidaklah akan cium bau wanginya dan sesungguhnya kesemerbakan bau syurga itu sudah tercium dari perjalanan sekian dan sekian (amat jauh terhidunya)".

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa dua golongan manusia yang dijamin oleh Allah S.W.T. akan memasuki neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, mereka itu adalah :

Pertama : Penguasa (pemimpin) yang zalim dan tidak adil.

Sesiapa yang bertanggungjawab memimpin umat sedangkan dia berbuat sesuka hati, merampas hak rakyat, menagkap dan menyiksa rakyat yang tidak berdosa dan dipenjarakan tanpa dibicarakan dimahkamah, menjalankan undang-undang bukan daripada Allah S.W.T., mengutamakan kroni dan ahli keluarga dalam pembahagiaan kekayaan negara dan menentang ulama yang ikhlas dalam mempertahankan agama Allah, maka penguasa seperti ini tidak akan mencium bau syurga.

Sabda Nabi SAW, maksudnya; “Dua golongan dalam umatku, apabila mereka baik, maka baiklah seluruh manusia dan apabila mereka rosak, maka seluruh umat turut menjadi rosak. Mereka ialah para umara’ (pemimpin) dan ahli feqh (ulama)”
(Hadis Riwayat Ibnu Abdil Bar dan Abu Naim).

Dalam hadis lain, Nabi S.A.W bersabda lagi, maksudnya; “Ditimpa kecelakaan ke atas umatku berpunca daripada ulama mereka yang telah jahat” (Hadis Riwayat Al Hakim).

Imam Al Ghazali di dalam Ehya’ Ulumuddin ketika mengulas hadis di atas berkata; “Punca kerosakan akhlak rakyat dalam sesebuah negara ialah kerana para pemimpin mereka telah rosak. Punca pemimpin mereka rosak ialah kerana para ulama mereka juga telah rosak”. Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa, bila para pemimpin negara rosak akhlak, dengan rasuah, politik wang, skendal seks, jatuh menjatuh, tuduh menuduh sesama sendiri, pecah amanah, gila dunia, gila pangkat, zalim dan sebagainya.

Semantara para ulama pula, yang peranannya menasihat dan memimpin para umara’, bila mereka tidak melaksanakan tanggungjawabnya, mereka juga terlibat dengan krisis, mengutuk dan mengecam, gila dunia dan gila pangkat dan lain-lain, maka tidak hairan rakyat dan orang awam turut sama megikut jejak langkah mereka. Bahkan bertindak lebih ganas lagi.

Bila keadaan umat ini makin kusut, bagaimana kita yang hidup di zaman ini hendak menghadapinya. Dalam hal ini Allah SWT sendiri dalam sebuah hadis qudsi telah menunjuk jalan kepada hamba-Nya, maksudnyal “Firman Allah .Aku adalah Allah yang tiada lagi Tuhan selain Aku. Aku adalah Pemilik segala-galanya dan Raja bagi segala raja. Sesungguhnya hati segala raja dan pemimpin adalah dalam tangan (kekuasaan) Aku. Sesungguhnya apabila hati segala rakyat taat kepada Aku, maka ketika itu Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi lemah-lembut dan mencurah rasa kasih sayang kepada mereka. Tetapi apabila hati rakyat mula berpaling daripada Aku (tidak taat dan derhaka), maka Aku akan merubahkan hati segala raja dan pemimpin negara menjadi kejam dan zalim terhadap mereka. Mereka ditimpa siksaan yang amat berat. Oleh itu, janganlah (rakyat) cuba untuk menentang raja-raja dan para pemimpin mereka. Sebaliknya, apabila mereka melihat raja dan pemimpin mereka zalim, maka hendaklah mereka perbanyakkan berzikir dan mengingati Aku dan terus menerus mentaati perintah Aku. Maka urusan menangani sikap raja dan pemimpin mereka adalah di tangan Aku” (Riwayat At Tabrani dan Abu Darda’).

Sekiranya pemimpin melakukan sesuatu tindakan yang akan melahirkan kemudaratan yang lebih besar seperti seseorang penguasa memberi arahan yang bercanggah dengan undang-undang, maka ia merupakan perkara yang boleh mengundang kemudaratan yang besar, ini kerana, sudah tidak wujud lagi “kedaulatan undang-undang” atau pemimpin melakukan rasuah, merampas harta rakyat dan sebagainya. Justeru itu, selayaknya diberikan nasihat dan kritikan secara terbuka.

Tindakan ini pernah dilakukan oleh imam Nawawi terhadap Sultan Zahir Bebrus yang memerintah kerajaan mesir kerana telah mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang Islam ketika itu. Ekoran dari arahan tersebut, menyebabkan Imam Nawawi telah bertindak mengeluarkan fatwa kepada orang ramai agar supaya arahan Sultan Zahir Bebrus itu tidak ditaati disebabkan tindakan mungkar yang dilakukan oleh Sultan tersebut.

Tindakan ulamak tersebut bertepatan dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya :
“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaknya dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika tidak mampu juga, maka hendaknya mengingkari dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Shahih Riwayat Ibnu Majah dan Muslim).

Kedua : Perempuan yang hanya berpakaiaan tetapi sebenarnya dianggap bertelanjang iaitu membogel, berlenggang-lenggok sewaktu berjalan dengan menghayun bahu.Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggol unta yang senget.

Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya :
"Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Di riwayatkan bahawa Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasullullah S.A.W dengan memakai pakaian yang nipis. Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, "Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid, tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja." (Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari)

Di dalam Surah An Nisaa: Ayat 34, Allah S.W.T Berfirman maksudnya :
"Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita."

Di dalam Surah Al-A'raf: ayat 26, Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Hai anak keturunan Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itu adalah yang paling baik."

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata itu adalah zina."

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan"
(Surah An Nur: 31)

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan janganlah memperlihatkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, atau bapa-bapa mereka, atau bapa-bapa mentua mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka (anak tiri), atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita (rakan sejawat atau yang berkhidmat) dengan mereka, atau hamba sahaya mereka, atau orang-orang lelaki yang menjadi pengikut mereka yang tidak mempunyai syahwat (nafsu) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum timbul berahinya apabila melihat aurat perempuan." (Surah An Nur ayat 31)

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam peristiwa Mi’raj Rasulullah ke langit, baginda telah melihat gambaran hukuman yang dikenakan ke atas wanita yang tidak menjaga aurat ini.

1. Ada wanita yang menangis-nangis meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang membantunya - ini lah hukuman bagi wanita yang berhias untuk selain suaminya.

2. Dan ada wanita yang tergantung dirinya pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk yang panas – inilah hukuman kepada wanita yang tidak menutup aurat termasuk rambutnya.

3. Ada juga wanita yang mukanya HITAM dan MEMAMAH isi perutnya sendiri – inilah hukuman terhadap wanita yang menggoda dan mengghairahkan lelaki.

Aurat wanita merupakan antara bahaya tersembunyi yang boleh MEROSAKKAN IMAN kaum lelaki secara halus. Akibat dari wanita-wanita seksi dan tidak menutup aurat dengan betul lah maka wanita-wanita yang menutup aurat pun menjadi mangsa, kerana lelaki boleh membayangkan tubuh wanita hasil dari yang ditengok dari wanita-wanita seksi terutamanya yang menampakkan bentuk tubuh sebelum itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa riwayat hadis menyatakan mengenai jarak tercium kesemerbakan bau syurga itu. Ada yang menyatakan sejarak empat puluh tahun, juga tujuh puluh tahun dan ada pula menyatakan lima ratus tahun. Dua golongan yang dinyatakan dalam hadis tersebut iaitu penuasa yang zalim dan wanita yang tidak menutup aurat tidak akan dapat mencium bau wangi syurga.

Oleh yang demikian itu, kita perlulah perbanyakkan amal solah, amal ibadah dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Jika kita dilantik menjadi pemimpin maka berlaku adillah kerana sifat adil lebih menghampirkan diri kepada takwa. Para suami dan bapa perlu menasihatkan isteri dan anak-anak gadis , kakak dan adik perempuan supaya menutup aurat dengan sempurna, janganlah mendedahkan aurat dan rambut mereka kerana ianya mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.

Di samping itu banyakkan beristighfar dan bersedekah jariah dan sebagainya bagi persediaan diri kita untuk menghadapi hari akhirat kelak kerana sedekah juga boleh menghapuskan dosa-dosa kita.Sebagai penutupnya, sebagai hamba Allah yang beriman dan bertakwa marilah kita jauhi perbuatan-perbuatan seperti yang telah dijelaskan di atas dan ingatlah bahawasanya kehidupan kita di dunia ini adalah sementara dan singkat sahaja.

Naz ~ Semoga kita tidak berada dalam 2 golongan tersebut. Amin....