Followers

Sunday, April 4, 2010

Rawat Jongang Dari Kecil


SUMBAT sahaja puting pada mulut bayi yang menangis namun formula mudah itu boleh membawa kesan negatif jika ia diamalkan secara berterusan.

Menurut pakar, amalan tersebut boleh menyebabkan fenomena gigi jongang. Malah selebriti seperti Os, Misha Omar, Allahyarham A.R. Tompel atau pemain bola sepak Ronaldinho, pernah dikaitkan dengan gigi jongang.

Pakar Perunding Kanan Ortodontik Klinik Pergigian Bangsar, Dr. Norlian Daud berkata, amalan menghisap puting botol atau puting tiruan perlu dielakkan sejak awal bagi menghindari masalah tersebut terjadi.

“Bahagian dalaman mulut ini amat kompleks kerana ia merupakan kombinasi tisu lembut dan keras,” ujar Norlian ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Jelas beliau, bentuk mulut si kecil amat mudah berubah atau dilentur dengan hanya menghisap jari.

“Kanak-kanak bawah enam tahun lebih berisiko tinggi kerana pembesaran bahagian mulut dan rahang mereka amat aktif.

“Apabila ada tekanan di lelangit, gigi dan rahang, ia dengan mudah mengubah bentuk asal bahagian mulut,” jelasnya.

Banyak kajian pakar ortodontik mendapati amalan menghisap jari dan puting menjadi faktor utama perubahan struktur rahang serta gigi.

Selain suka menghisap jari, gigi berlapis, bentuk gigi yang abnormal serta kehilangan gigi akibat rosak atau kemalangan juga menjadi faktor kepada pembentukan gigi jongang.

“Jongang ditakrifkan sebagai perbezaan jarak antara gigi atas dan bawah yang berselisih melebihi empat milimeter (mm).

Tiga tahap jongang

“Secara umum terdapat dua keadaan jongang iaitu gigi dan rahang mencembung ke dalam atau ke luar. Keadaan tersebut diistilahkan sebagai poor bite dan deep bite,” kata Norlian.

Tahap keadaan gigi-gigi sebelah atas dan sebelah bawah yang mempunyai hubungan yang tidak normal ini dibahagikan kepada maloklusi kelas I, II dan III.

“Maloklusi kelas I merupakan satu keadaan gigi atas berselisih dengan gigi bawah pada paras normal iaitu dua hingga empat mm tetapi gigi tidak teratur, sesak ataupun jarang. Ia tidak melibatkan rahang dan ramai yang mengalaminya,” katanya.

Mandibular retrognathism atau gigitan berlebihan (over bite) diletakkan sebagai jongang kelas II. Ini menjadikan rahang atas dan gigi berselisih dengan rahang dan gigi bawah dengan jarak yang agak besar seperti pelakon komedi Os.

Jongang jenis ini bertambah teruk jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas atau bibir atas seseorang itu agak pendek dan tidak dapat mengawal posisi gigi atas.

Kelas III atau prognathism pula berlaku apabila gigi bawah lebih menonjol daripada gigi atas.

“Dalam kes seperti ini, pesakit selalunya mempunyai tulang rahang bawah yang besar atau tulang rahang atas yang pendek,” jelasnya.

Perbezaan saiz dan struktur rahang juga mempengaruhi pembentukan gigi serta kecembungan rahang.

Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan dalam menstruktur semula gigi dan rahang tetapi rawatan bergantung kepada tahap masalah dan umur pesakit.

Opsyen rawatan

Jelas Norlian, rawatan mengatasi masalah jongang lebih berkesan dan mudah jika abnormaliti rahang atau gigi dapat dikesan pada peringkat awal terutama pada fasa gigi kekal mula tumbuh kerana corak pembentukan gigi boleh dikenal pasti.

“Pendakap berfungsi merupakan satu daripada kaedah rawatan. Kaedah ini membabitkan sejenis pendakap berspring yang dipasang di antara geraham atas dan bawah,” jelas Norian.

Sambungnya, penggunaan alat tersebut membantu membetulkan kedudukan gigi atas dan bawah melalui tekanan pada tulang rahang.

Kaedah lain pula ialah dengan menggunakan pendakap tetap ortodontik membabitkan satu set dawai dan pendakap yang dilekatkan pada gigi.

Pendakap-pendakap tersebut secara umumnya dipanggil braces. Tempoh penggunaan pendakap adalah berbeza mengikut kes tetapi secara lazim, ia memakan masa sehingga 28 bulan.

Teknik tersebut menggunakan dawai gred perubatan yang disesuaikan dan diketatkan secukupnya untuk mengubah kedudukan gigi pada kedudukan yang dikehendaki.

Cabut gigi

“Bagi sesetengah kes, beberapa batang gigi terpaksa dicabut bagi memberi ruang pendakap menarik gigi lain ke ruang kosong ini,” ungkap Norlian.

Jelas Norlian, pendakap kekal atau pendakap berfungsi perlu dipakai sepanjang masa bagi memastikan rahang terus bergerak kepada posisi yang lebih baik.

Secara perlahan-lahan, alat tersebut akan mengalihkan kedudukan gigi bersama pembesaran rahang yang berlaku secara semula jadi.

Kaedah terakhir ialah penggunaan retainer atau penahan gigi. Alat tersebut berfungsi menahan gigi pada tempatnya selepas rawatan pergigian.

Sesetengah pakar gigi turut menasihatkan pesakit memakainya untuk satu tempoh yang tertentu bagi memastikan kedudukan gigi kekal pada kedudukan baru.

Naz ~ Ciptaan Allah semuanya cantik...

2 comments:

Raji and Yeen said...

thx2 for that usefull info..
tol2 kbnyakan bdak yg isap jari bler ckp mcm jonggang..
hak3 bler ckp tgnnyer dlm jari xD

AkuBukanLelaki said...

teringat daku lagu halimah jonggang