Followers

Friday, November 5, 2010

Tiga Watak Di Akhir Zaman


Kedatangan Imam Mahdi
Disebutkan dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan
tanda-tanda sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila
sudah dekat kedatangan Imam Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak
bencana dan banyak bala.


Pada masa itu nanti semakin banyak terjadi pembunuhan dan peperangan.
Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh. Antara satu
kumpulan de-ngan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara dengan
negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin banyak
berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting beliung,
banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit, semakin banyak jenis penyakit
dan semakin ramai manusia yang berpenyakit.


Menjelang datangnya Imam Mahdi nanti akan muncul api yang besar dari arah
Masyriq (tempat terbitnya matahari) dan menerangi seluruh ufuk selama tiga
malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah jumlah orang-orang yang mengaku
dirinya sebagai nabi berjumlah enam puluh orang. Masa itu akan tenggelam
kampung-kampung di negeri Syam. Akan datang angin yang hitam yang
me-nyebabkan manusia ramai yang mati. Sungai Furat di Iraq akan melimpah
(banjir) yang menyebabkan kota Kufah tenggelam. Akan terdengar suara
seruan dari langit. Suara itu dapat didengar oleh semua manusia yang ada
di dunia. Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami
oleh semua orang.


Orang yang hanya tahu atau faham bahasa Inggeris faham mendengar seruan
dari langit itu, begitu juga pengguna bahasa Cina, bahasa India, bahasa
Melayu, bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin juga panggilan itu dalam
bahasa Arab tetapi semua orang mendengar dalam bahasanya sendiri.


Terdengar suara pada tengah malam bulan Ramadan yang menyebabkan semua
orang yang tidur terbangun atau terperanjat. Banyak pembunuhan dan banyak
peperangan berlaku sehingga darah mengalir di jalan-jalan raya. Orang
semkain berani berbuat jahat tidak kira tempat dan waktu.


Pada masa itu nanti yang diangkat menjadi pemimpin pun terdiri dari
orang-orang jahat. Pemimpinnya jahat dan orang yang dipimpin pun sama-sama
jahat. Dalam hadis dikatakan ramai manusia pada masa itu nanti yang
beriman pada waktu petang tetapi esok paginya sudah menjadi kafir. Namun
demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu dengan kafir nikmat.


Bukan bererti petang dia masih Islam esok harinya sudah Nasrani atau
Yahudi misalnya. Maksud hadis itu menurut ulama menunjukkan banyaknya
orang yang kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian Allah tidak
disyukuri dan tidak digunakan kepada yang diredai Allah SWT.


Menjelang turunnya Imam Mahdi dikatakan pasukan tentera dari Turki akan
datang ke jazirah Arab. Mereka datang untuk menakluki tanah-tanah jazirah
Arab. Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan mereka kuasai daerahnya.
Dalam keadaan dunia yang buruk dan kacau itu tiba-tiba muncullah Imam
Mahdi. Beliau datang untuk meneruskan atau menyambung perjuangan datuknya
(Muhammad s.a.w) untuk mengatasi kekalutan dan kekacauan yang dihadapi
umat. Semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi merasa gembira
dengan kedatangan Imam Mahdi itu. Bukan hanya manusia yang gembira, tetapi
juga binatang buas, burung-burung dan makhluk lainnya.


Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki yang soleh dari keluarga Rasulullah
s.a.w yang ada ketika itu (pada masa munculnya) nanti. Dia diangkat orang
menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh dunia nanti sudah begitu buruk
keadaannya.


Mereka mengangkat Imam Mahdi menjadi pemimpin ketika itu nanti setelah
melihatnya berilmu, berakhlak dan mempunyai banyak kelebihan. Manusia yang
ada pada zaman itu nanti mengharap semoga dia dapat mengembalikan dunia
kepada kebaikan. Dengan perasaan yang cukup berat, dia (Imam Mahdi)
menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang dirinyalah Imam Mahdi yang
ditakdirkan Allah SWT untuk diutus ke dunia. Begitu juga manusia sedunia
yang telah mengangkatnya menjadi pemimpin dunia, tidak tahu bahawa orang
yang mereka angkat itu adalah Imam Mahdi.


Kerana tidak tahu yang dirinya Imam Mahdi dan tidak berapa suka menjadi
pemimpin, sudah tentu dia pun tidak ada berkempen mengajak orang untuk
mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia dengan baik barulah orang tahu
bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia tunjukkan perilaku yang baik, dia ajak
manusia mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar, kemudian
orang pun mengikuti arahannya.


Mengapa manusia yang sudah begitu lama bergelimang dengan dosa mahu diajak
kepada kebaikan? Ini tentunya samalah dengan zaman jahiliah dahulu, yang
mana keadaan masyarakat sudah begitu buruk, tiba-tiba datang seorang
utusan Allah untuk membaiki keadaan dunia, orang pun terus mengikutnya.


Manusia mahu diajak kepada kebaikan tentunya setelah melihat orang yang
mengajak itu mempunyai banyak kelebihan, dan yang paling penting orang
yang mengajak itu berjuang dengan ikhlas dan sesuai kata-kata dengan
perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh dunia mengikut ajarannya kemudian
dia pun mengatur dunia dengan baik.


Keadilan dapat ditegakkan seperti zaman Rasulullah s.a.w. dahulu. Kerana
keadaan masyarakat sudah baik dan sudah beriman, malapetaka dan musibah
berkurangan. Bahkan rahmat Allah pula yang datang dan rezeki melimpah
ruah. Setelah dunia aman dan makmur serta melihat pemimpinnya tidak
terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka bahawa yang memimpin
mereka itu adalah Imam Mahdi.


Kedatangan Dajjal


Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya
telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun
pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat,
Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda
tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di
atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku
memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan
Rasul-Nya yang lebih tahu.”


Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di
sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku
ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang
Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada
bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia
ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu
sebelumnya.


Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal.
Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke
tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya
ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan.
Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari.
Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang
yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.


Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang
itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu
Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki,
pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya
dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang
ditunjukkan oleh binatang itu.


Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap.
Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya
sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya
sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti
raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang
aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”


Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut
menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah
samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami
terdampar di pulau yang tuan tempati ini.


“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya
sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia
katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam
ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”


Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa
dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang
sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan
soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,”
nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan
maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu
berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang
besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”


Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai
Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki
itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya
tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan
kering.”


Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan
kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab:
“Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi:
“Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia
diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu
apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah
s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.


Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung
jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan
kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin
keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh
malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku
tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para
Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”


Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas
mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu,
iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita
ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya
lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada
kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak
dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut
Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata
Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.


Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah
timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau
Asfihan.


Khutbah Rasulullah SAW tentang Dajjal


Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah
berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh
masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah
(kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang
dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada
mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir
sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang
pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih
ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap
mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga
dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.


“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan
mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai
manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri
Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.


“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah,
tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai
Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum
kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat,
bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu
tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca
atau buta huruf.


“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya
itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.
Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia
meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah
Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi
Ibrahim itu menjadi sejuk.


“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
“Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama
meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang
Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti
ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama.
Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya
dialah Tuhanmu.”


“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia
belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang
akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula.
Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih
itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan
orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah
musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang
paling tinggi darjatnya di syurga.”


Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit
supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya
mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang
paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang
baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang
demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.


“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan
penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian
hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.


“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal
kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh
Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran
Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di
luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu
orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal
di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang
sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota
Madinah.


Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya
itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak
beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka
tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia
lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun
beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh
langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan
tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman
mereka subur.”


Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang
turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang
pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang
tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”


Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang
paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal
oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya
Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang
munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing
kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah
yang paling banyak lari ketika itu.


Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya
seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”


Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan:
“Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang
menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya
menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya
takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih
hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang
setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”


Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul
pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama.
Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa
bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu
hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari
biasa.”


Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun
itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab:
“Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian
alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud
menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari
lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.


Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata
kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?”
Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi
kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.


Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal
kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat
puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh
bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam
yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal
itu.”


Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia
menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang
tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.
Wallahu A'lam.


Kedatangan Nabi Isa


Diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an bahawa Rasulullah
bersabda tentang Nabi Isa: “Beliau akan turun berdekatan dengan menara
putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak
tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan
kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah
daripadanya seperti untaian mutiara.”


Berdasarkan hadis ini bererti Nabi Isa akan turun di Syam, bahkan juga di
Damsyik, iaitu di sisi menara sebelah timur. Beliau akan turun pada waktu
fajar. Ibnu Katsir ada berkata: “Sesungguhnya tidak ada di Damsyik menara
yang dikenal di sebelah timurnya kecuali yang berada disamping masjid
jamik Amawi, iaitu di sebelah timur Damsyik.”
Menara tersebut telah diperbaiki pada zaman Ibnu Katsir, iaitu pada tahun
741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari harta orang-orang Nasrani yang
sebelumnya telah membakar menara masjid tersebut. Besar kemungkinan nanti
Nabi Isa akan turun di tempat itu.


Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Para nabi semuanya bersaudara disebabkan ayah mereka satu dan
hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan agama mereka adalah satu. Dan
akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin Maryam kerana tidak ada Nabi
di antara kami. Sesungguhnya dia akan turun. Apabila dia turun nanti,
untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih kemerah-merahan.
Dia memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti menitis air
walaupun rambut dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak orang kepada
Islam. Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan segala agama
kecuali Islam. Allah SWT akan membinasakan Dajal pada zamannya, bahkan di
tangannya. Pada zamannya nanti dunia akan aman sehingga harimau dan unta
berkawan dengan baik. Begitu juga harimau dengan lembu, serigala dengan
kambing. Kanak-kanak akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit
mereka. Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian
Nabi Isa a.s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin.”


Muhammad s.a.w adalah nabi penutup dan tidak akan ada lagi nabi
sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir zaman akan menguatkan lagi kebenaran agama Islam. Islam bererti menyerahkan segala urusan bagi Allah
yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan semua Rasul,
berserah kepada Allah dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu semua
sebenarnya sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi
Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s.a.w selaku nabi
terakhir.


Isa a.s. adalah nabi dan rasul yang mulia, datang dari sisi Allah. Beliau
dahulu sudah ada membawa syariat kepada umatnya tiba-tiba beliau diangkat
ke langit. Nanti di akhir zaman beliau akan turun lagi dengan izin Allah
tetapi bukan membawa agama atau syariat baru. Beliau datang nanti untuk
menguatkan agama Islam,
Ummu Syuraik bertanya kepaad Rasulullah s.a.w tentang hari Dajal: “Ya
Rasulullah, ke mana orang-orang Arab ketika itu?” Rasulullah s.a.w
menjawab: “Jumlah mereka pada waktu itu terlalu sedikit. Mereka lari ke
Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang lelaki soleh (Imam Mahdi
menurut riwayat itu).
“Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami solat Subuh,
tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk memberi peluang
kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa a.s sambil
memegang bahu Imam itu berkata: “Teruskanlah, sesungguhnya iqamat
dibacakan untuk engkau.” Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam
tadi.


“Selesai solat, Isa a.s berkata kepada semua jemaah: “Bukakan pintu itu.”
Mereka membuka pintu masjid itu, tiba-tiba Dajal sudah berdiri di situ dan
di belakangnya ada 70,000 Yahudi lengkap membawa senjata.
“Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajal tiba-tiba saja layu atau
cair seperti cairnya garam disirami air. Dajal itu lari terbirit-birit
kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus saja mengejarnya
kemudian menjumpainya di Babu Luddi. Dan di sanalah Nabi Isa membunuh
Dajal itu.


“Orang-orang Yahudi pun akan dikalahkan dan dibinasakan Allah pada waktu
itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi tetapi semua benda tempat mereka
bersembunyi akan pandai bercakap atau bercerita dengan izin Allah.
Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu, pokok kayu dan sebagainya.
Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik belakang mereka,
benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri
(disebut pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu
akan berkata: “Wahai hamba Allah yang beriman, di sini ada orang Yahudi,
bunuhlah dia.”


Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Dajal akan berada di dunia selama empat puluh
tahun. Satu tahun lamanya seperti setengah tahun, terkadang seperti satu
bulan. Satu bulan seperti satu minggu. Dan pada hari yang terakhir terasa
sekejap sahaja. Pagi-pagi kamu berada di pintu masuk kota Madinah (Madinah
pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang lain hari pun masuk waktu
malam.”


Mendengar yang demikian ada yang bertanya: “Bagaimana kami mengerjakan
solat dalam waktu yang begitu singkat ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w
menjawab: “Ukur sajalah jaraknya dan bandingkan dengan waktu yang panjang
sekarang ini.”


Rasulullah s.a.w berkata: “Isa bin Maryam akan memimpin umatku dengan
bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang ada di
dunia ini dan akan membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan
cukai. Manusia pada waktu itu tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun
tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya.


“Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan tenteram. Tidak ada
saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu antara sesama
makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang bermain-main dengan
harimau dan harimau itu tidak menerkamnya, begitu juga kambing berkawan
dengan serigala. Seluruh dunia ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian,
keamanan dan ketenteraman. Bahkan ketika itu nanti tidak ada
pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada yang disembah selain
Allah.


“Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua miliknya. Bumi
mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti zaman Nabi
Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima sehingga mereka
kenyang memakannya.”


Ibnu Katsir berkata: “Abdul Rahman Al-Muharibiy berkata: “Sebaiknya hadis
ini dijadikan untuk mendidik saja. Hadis ini tidak sahih tetapi banyak
hadis lain yang hampir sama maksudnya dengannya. Di antaranya ada
diriwayatkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan memerangi
mereka habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi pun akan
berkata: “Wahai orang muslim, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.”


Menurut riwayat, bumi nanti akan mengeluarkan segala khazanah kekayaannya,
iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada waktu itu dunia dalam keadaan makmur dan
harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang yang berhak menerima
zakat.


Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Sudah hampir
masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam menjadi hakim yang adil, yang akan
membunuh Dajal, membunuh babi, menghancurkan salib dan menghapuskan cukai
kerana harta ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti manusia hanya
sujud kepada Allah Tuhan sekalian alam.”


Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu Mas’ud, dari Rasulullah s.a.w: “Pada
malam aku diisrak mikrajkan, aku telah berjumpa dengan Ibrahim, Musa dan
Isa a.s. Mereka membincangkan hari kiamat dengan menanyakan
permasalahannya kepada Ibrahim. Tetapi beliau hanya menjawab: “Tidak ada
pengetahuanku tentang hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa.” Mereka
tanya Nabi Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: “Aku tidak tahu tentang
kiamat. Cuba kalian tanyakan kepada Isa.”


“Mereka tanyakan kepada Isa kemudian beliau berkata: “Sebenarnya tidak ada
yang mengetahui masalah ini kecuali Allah. Menurut yang dijanjikan Allah
kepadaku, Dajal nanti muncul sedangkan di tanganku ada dua sabit (alat
pemotong). Sebaik saja Dajal itu melihat aku, dia pun hancur seperti
hancurnya timah yang terkena panas. Allah akan membinasakannya, begitu
juga orang-orang kafir lainnya. Sehingga batu dan pokok kayu nanti akan
ikut berkata: “Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir bersembunyi,
marilah dan bunuhlah dia.”


Kata Nabi Isa lagi: “Setelah Allah SWT membinasakan mereka, orang-orang
muslim pulang ke rumah mereka masing-masing. Dalam keadaan demikian keluar
pula Yakjuj dan Makjuj, yakni bertebaran dari segenap penjuru.
Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj itu, maka semua kampung dan tempat
tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka. Mereka memakan semua makanan
yang ada dan meminum semua air. Setelah habis makanan dan buah-buahan,
daun-daunan pun habis mereka makan. Air sungai dan tasik semua habis
mereka minum.”


Tambah beliau lagi: “Orang-orang mukmin ketika itu tidak tahan melihat
ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga mereka memohon kepada Allah supaya
dibinasakan binatang itu. Berkat doa mereka itu, Yakjuj dan Makjuj itu
mati semua. Sekarang timbul masalah yang cukup besar lagi, yakni bangkai
Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di mana-mana seluruh
dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah SWT menurunkan hujan lebat
sehingga bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian hanyut ke
laut.”


Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak, Rasulullah s.a.w bersabda: “Belum
terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam berjalan di udara untuk mengerjakan
haji dan umrah, atau sehinga Allah SWT menghimpunkan haji dan umrah dan
menjadikan Ashabul Kahfi sahabatnya. Nabi Isa dan kelompok Ashabul Kahfi
akan berjalan untuk mengerjakan haji kerana mereka selama ini belum mati
dan belum pernah mengerjakan haji.”


Sebelum ini sudah diterangkan riwayat dari Abu Hurairah yang mengatakan
bahawa Nabi Isa a.s akan memimpin dunia nanti selama 40 tahun. Namun
demikian disebutkan dalam sahih Muslim, dari Abdullah bin Amr bahawa Nabi
Isa akan berada di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang lebih kuat ialah
yang mengatakan 40 tahun. Menurut Ibnu Katsir kedua-dua pendapat itu
sama-sama benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat ke langit pada
usia 33 tahun, kemudian turun nanti ke dunia selamaa 7 tahun lagi, yakni
sebelum beliau diwafatkan Allah SWT. Setelah tujuh tahun memimpin dunia,
Nabi Isa wafat. Maka umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu
A'lam.


Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang termaktub dalam hadis sahih,
Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada zaman Nabi Isa. Kemudian Allah SWT
memusnahkannya berkat doa Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan
dalam hadis bahawa Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti.
Muhammad bin Ka’ab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat
Nabi Isa nanti dan mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya Nabi
Isa akan wafat di Madinah. Beliau akan disembahyangkan oleh kaum muslimin
dan dimakamkan berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w.


Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan dimakamkan bersebelahan dengan
kuburan Nabi Muhammad s.a.w, kuburan Abu Bakar dan Umar. Bererti kuburan
Nabi Isa merupakan kuburan yang keempat.


Naz ~

5 comments:

Along Fina said...

wahhh.. panjangnya entry...

syafiqa said...

nice..tengs share info ni.
banyak dpt tahu =)

Seri said...

entry yang terperinci

amirul said...

huh! berjaya juga habiskan entry ini... good sharing... :)

najihah said...

terima kasih berkongsi :)