Followers
Friday, January 29, 2010
Arak Perosak Ummah
ARAK adalah minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan. Dalam bahasa Arab ia disebut al-khamr, bermaksud menutup.
Menutup itu mengambil sifat khamr itu yang menghilangkan kewarasan akal peminum arak (mabuk), menjadikan si peminum terlena dan tidak sedarkan diri.
Islam mengharamkan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol. Dalam hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah arak dan semua yang memabukkan adalah haram”.
Pengharaman itu dibuat sebanyak empat kali iaitu secara berperingkat (tadriji) sebelum ia diisytiharkan haram dan berdosa besar jika meminum arak. Ini membuktikan arak amat berbahaya daripada aspek kesihatan.
Bukan Islam saja mengharamkan arak, tetapi agama lain turut melarang penganutnya menjauhi arak kerana ia memudaratkan kesihatan dan perlakuan mereka.
Arak dihasilkan daripada buah-buahan seperti anggur, tamar dan bijirin seperti gandum melalui kaedah peram atau penapaian. Nama komersialnya seperti wiski dan brandi.
Namun, dalam bidang perubatan, alkohol mempunyai kepentingannya terutama dalam pembuatan minyak wangi.
Bagaimanapun, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai alkohol dalam minyak wangi, hukumnya harus dan dimaafkan.
Namun, bagi minuman tanpa mengira apa jenis, hukumnya tetap haram.
Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikannya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.” (Surah al-Nahl ayat 67).
“Ayat pertama itu memberi peringatan supaya umat Islam ketika itu berfikir kerana arak daripada tamar dan anggur yang manis itu jika dimasukkan bahan lain seperti ragi lalu diperam boleh mengubah sifatnya serta menyebabkan peminumnya mabuk atau khayal,” katanya.
Beliau berkata, ayat itu juga menceritakan tabiat orang Arab ketika itu gemar memproses tamar dan anggur bagi menghasilkan arak yang akhirnya merosakkan akal fikiran.
“Islam menggunakan pendekatan berhemah dengan mendidik umat-Nya meninggalkan sesuatu yang diharam itu secara perlahan-lahan,” katanya.
Bagi mengelak anak muda terjebak minum arak, ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama.
“Jika bapa sendiri membawa anak ke pusat hiburan dan mengambil arak, jangan salahkan si anak jika suatu hari nanti mereka juga mengambil minuman haram itu.
“Apabila arak menjadi minuman harian, ia akan merosakkan generasi itu dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Siapa yang minum khamr seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal ? Ketika ditanya : Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu? Jawabnya: Darah bercampur nanah ahli neraka”. (Hadis riwayat Atthabrani).
Dalam ayat kedua, Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya…” (Surah al-Baqarah ayat 219).
Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak dijelaskan dalam firman Allah s.w.t, maksudnya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan (baca)…” (surah al-Nisa’ ayat 43).
Sebab turun ayat ini adalah bersandarkan riwayat kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang bermaksud: ” Kami diundang Abdul Rahman bin ‘Auf untuk makan di rumahnya, dihidangkan bagi kami makanan dan dihidangkan arak, kami minum sehingga mabuk. Kemudian masuklah waktu solat (Isyak), lalu aku diminta menjadi imam. Maka aku bacalah: ” Qul ya ayyuha al-kafiruna la a’budu ma ta’buduna, wa nanhnu na’budu ma ta’buduna.” (Abu Daud, al- Termidzi, al- Nasaie dan Hakim).
Farid berkata, ketika itu sahabat sedang bersolat yang diimamkan Ali, tetapi disebabkan Ali mabuk dia membaca ayat sedemikian rupa.
Manakala ayat yang terakhir yang secara jelas mengharamkan arak adalah dari Surah al-Maidah ayat 90 yang mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ” Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.”
Ayat yang diturunkan di peringkat keempat ini adalah muktamad bahawa hukum minum arak itu haram dan termasuk dalam dosa besar.
Farid kesal kerana kaedah penjualan arak kepada orang ramai masa ini terlalu mudah sehinggakan golongan remaja boleh mendapatkan di kedai serbaneka di tempat tinggal mereka.
“Mula-mula mereka kenal arak kemudian dengan sendirinya mereka melakukan perkara keji seperti seks bebas, pergaduhan dan pembunuhan.
“Perbuatan minum arak adalah amalan syaitan dan makhluk durjana itu tidak pernah menginginkan amal kebaikan manusia.
“Syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan kejahatan kerana itulah janjinya kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata sejarah kejatuhan kerajaan Mesir dan China kuno ada kaitan dengan penggunaan arak berlebihan.
“Terdapat tiga jenis arak seperti bir, wain dan spirits. Setiap satunya mempunyai peratusan kandungan alkohol yang berbeza.
“Minum arak dalam jumlah yang banyak atau sedikit tetap memberi kesan kepada kesihatan.
“Antaranya merosakkan otak, hati, usus kecil dan dinding perut. Akibatnya, tekanan darah menjadi tidak menentu sehingga otot tidak berfungsi sepenuhnya.
“Itu menyebabkan mereka yang mabuk berjalan terhoyong- hayang, mudah marah dan hilang sifat malu,” katanya.
Katanya, amalan minum arak melebihi 50 gram sehari boleh menyebabkan kanser mulut, tekak, kerongkong, payudara, hati, paru-paru, perut, hempedu, ovari, prostat dan kulit.
Naz : Ada juga orang Melayu Islam yang bekerja di kilang arak... :(
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
sebab tu di larang mencuba biar setitik arak itu
jauhkan diriku dr arak!
Post a Comment