SUKA DUKA AL-IMAM QARDHAWI DIGELAR WAHABI
Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: www.yussamir.com
Meninjau kembali sejarah dan liku-liku perjuangan Prof Dr Yusuf
al-Qardhawi, seseorang itu pasti akan menimba pelajaran yang sangat besar
dari tokoh besar ini. Kehidupannya yang penuh dengan ilmu dan dakwah,
membentuk diri beliau sebagai seorang sarjana dan ilmuan islam yang disegani
pada zaman ini.
Ketika anak-anak murid beliau mengadakan seminar memperingati jasa dan
ketokohan beliau serta menamakan beliau sebagai Al-Imam. Air mata beliau
menitis deras membasahi janggutnya, kemudian tokoh besar ini berkata,
“Sesungguhnya tidaklah layak aku memakai gelaran ini. Aku hanyalah seorang
penuntut ilmu, dan akan terus menuntut ilmu hingga akhir hayatku.”
Kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu
ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan
gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi
pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam
dunia politik Islam.
Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai
dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat
pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai
konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara
khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, *beliau digelar
oleh gurunya dengan gelaran Wahabi! *
Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa
menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah
menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.
Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya
saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya:
“Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar?
Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar?
Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum
pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ini dengan penuh tabah sambil
mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak
bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu
marilah kita kembali kepadanya.”
Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh
takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan
ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan
bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam
menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu.
Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf
al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan)
terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali
kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat
dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.
Jika disoroti perjalanan dakwah dan kesarjanaan Al-Qardhawi, ia hanyalah
kesinambungan dan kelansungan perjuangan Ulama-ulama besar sebelum beliau.
Misalnya al-Imam Ibnu Taimiyah dan al-Imam Ibnu al-Qoyim yang sinonim dengan
gerakan Tajdidnya dan usaha mereka memerangi syirik dan bid’ah.
Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada
al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali
sebagai Sarjana dan Ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi
terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau
Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh
ini.
Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan
perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan
sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada
seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab,
seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan
tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh
al-Auliyat (Feqah keutamaan) , “Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin
Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan
melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah
mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai
buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka
menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”
Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan
seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang
anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.
Kepada mereka yang suka bermudah-mudah dan ringan mulut memburukan dan
membuat tuduhan di atas nama agama. Marilah kita muhasabah dan bersikap
amanah dalam menyebarkan ilmu. Buangkan prasangka, sikap ujub serta tabiat
melabel-labelkan orang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap atas tiket
agama. Firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “hai orang-orang yang
beriman. Jauhilah banyak bersangka-sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu
berdosa”
Dikuatkan lagi dengan pesanan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam,
“Hati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu
adalah sedusta-dusta perkataan” (Hadith direkodkan Imam Bukhari).
Maka beruntunglah mereka yang tetap di jalan kebenaran, dan jika anda berani
untuk mengaku sebagai wahabi, hafallah dan telanlah ucapan HAMKA ini sebagai
panduan apabila diasak dengan soalan, “Adakah anda Wahabi?.”
“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan
Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya
boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan
Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah
daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang
berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi
bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam
tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada
tahun 1958)
Naz : Jangan berburuk sangka jika tiada bukti yang kukuh...
4 comments:
memg ramai tokoh islam...
respect sumenyew!
GhOsToNe..
sememangnya ramai... Alhamdulillah...
semua juga boleh dijadikan contoh atau role model.. :)
betoi2!!
sokong kamu!!!
GhOsToNe...
mekaseh.. :)
Post a Comment