Followers

Sunday, December 27, 2009

Perangkap maut


Oleh Mohd Azis Ngah

MUSIM cuti sekolah ini pasti dipenuhi pelbagai aktiviti seperti mengunjungi tempat menarik atau pun melawat saudara mara. Kesempatan itu bagaimanapun, memerlukan individu memandu pada tempoh lama. Ada yang suka memandu pada awal pagi dan tidak kurang juga yang gemar memulakan perjalanan pada sebelah malam.


Memandu pada waktu tengah hari misalnya, mudah mengundang rasa mengantuk, apatah lagi berada di dalam kenderaan yang dipasang sistem pendingin hawa yang berfungsi baik sekali gus mewujudkan suasana selesa untuk melelapkan mata.

Atas dasar itu serta nasihat kepada pengguna jalan raya supaya berhenti rehat jika rasa mengantuk, sememangnya memberikan banyak pilihan kepada pemandu untuk berehat seketika dan tidur di dalam kenderaan.

Tidak hairanlah jika berhenti di mana-mana kawasan rehat sepanjang lebuh raya, pasti kelihatan kenderaan yang enjin dan pendingin hawa dihidupkan dengan pemandunya kelihatan terbaring diulit lena, mungkin kerana terlalu penat selepas memandu lama.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa peredaran udara di dalam kenderaan statik atau tidak bergerak dan dipasang pendingin hawa adalah jauh berbeza dengan kenderaan yang bergerak dan turut dipasang pendingin hawa.

Hakikatnya, kenderaan bergerak mempunyai suhu dalaman yang lebih sejuk kerana mendapat bantuan udara luar semasa bergerak berbanding kenderaan statik yang agak panas disebabkan hanya bergantung kepada pengedaran dalaman saja.

Ini bermakna, tidur dalam kenderaan dengan sistem pendingin hawa terpasang juga berisiko, bukan setakat boleh menghilangkan penat dan mengantuk, bahkan boleh menyebabkan nyawa melayang jika berlaku masalah kebocoran tanpa disedari.

Tidak hairanlah istilah mati ketika tidur dalam kenderaan, sememangnya biasa didengari. Malangnya, tidak ramai berminat membincangkannya sedangkan aspek keselamatan inilah yang menentukan sama ada anda selamat dalam kenderaan sendiri atau kereta itu sebenarnya menjadi perangkap maut.

Lebih sukar, lazimnya pengguna jarang menyedari berlakunya masalah seperti kebocoran pada sistem pendingin hawa atau terhidu gas karbon monoksida berlebihan yang menjadi antara punca mati mengejut di dalam kenderaan.

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha, menjelaskan kebocoran yang kerap berlaku pada sistem kenderaan ialah membabitkan sistem ekzos, sistem brek dan ‘clutch,’ sistem enjin seperti minyak enjin dan minyak transmisi.

Kebocoran juga boleh berlaku pada sistem penyejukan iaitu radiator, hose atau saluran, pam air dan gas pendingin hawa.

“Jika kebocoran pada sistem hawa dingin, ia boleh dikesan dengan alat ‘gas leak detector.’ Biasanya, jika ada masalah kebocoran gas, ia akan berlaku pada penyambungan atau ‘cooling coil’ dan gas berkenaan akan meresap ke udara.

“Jenis gas yang digunakan adalah freon Gas (R134a) tetapi ia tidak beracun, mesra alam, tidak mengandungi CFC (Clorofluro Carbon), tidak berwarna, tidak berbau dan tidak menyumbang kepada kenipisan lapisan ozon,” katanya.

Namun, kata Tunku Mudzaffar, walaupun gas hawa dingin jenis R134a dikategorikan sebagai mesra alam dan selamat, ia cuma banyak digunakan untuk kenderaan baru sedangkan kenderaan lama yang dikeluarkan sebelum 1990 sebenarnya menggunakan gas berbeza iaitu jenis R12.

“Gas R12 mengandungi CFC (ClorofluroCarbon), tidak mesra alam dan turut menyumbang kepada kepanasan rumah hijau. Sebab itulah, perlu ditegaskan, bukan semua jenis kenderaan yang sama jenis mempunyai tahap keselamatan yang sama, bergantung kepada usia, tahap penggunaan dan kerosakan,” katanya.

Paling penting, kata Tunku Mudzaffar, orang ramai perlu maklum akan kepentingan sistem pendingin hawa itu sendiri.

“Sistem penghawa dingin dipasang bertujuan mewujudkan rasa selesa kepada penumpang dan pemandu, bukannya untuk tidur lama. Oleh itu, pemilik kenderaan perlu pastikan sistem kenderaan mereka diselenggara setiap enam bulan sekali.

“Buang sikap tidak ambil peduli kerana ini bukan setakat soal keselesaan semata-mata tetapi keselamatan nyawa sendiri dan orang tersayang,” katanya.

Justeru, katanya, selain lebih peka kepada kepentingan penyelenggaraan, pemilik kenderaan juga perlu mengamalkan perbuatan membuka bonet kereta dan periksa secara kasar setiap pagi ketika memanaskan kenderaan.

“Itu amalan yang baik kerana jika berlaku kebocoran serius, kita boleh kesan awal,” katanya.

Apakah pula masalah yang timbul jika berlaku kebocoran pada ekzos, kaburator yang dikatakan boleh menyumbang kepada penghasilan racun akibat penghasilan karbon monoksida yang terlalu banyak?

Ini menyebabkan penggunaan minyak petrol yang berlebihan, enjin hilang kuasa dan jika gas karbon monoksida masuk ke dalam kenderaan, ia akan menyebabkan pemandu, penumpang berasa pening, loya, kurang selesa dan beracun.

“Jika karburator bocor dan mengalir ke kawasan panas seperti ekzos, ia boleh menyebabkan kebakaran. Pemandu dan penumpang akan berasa kurang selesa, sesak nafas jika bau petrol merebak ke dalam kenderaan.

“Itulah antara punca yang menyebabkan kematian mengejut disebabkan terhidu gas karbon monoksida terlalu lama dan jika terbakar, pemandu mungkin terperangkap di dalam kenderaan kerana sedang tidur,” katanya.

Ada yang menasihatkan jika ingin tidur di dalam kenderaan, pastikan cermin tingkap tidak ditutup terlalu rapat bertujuan memastikan berlakunya pengedaran keluar masuk udara di dalam dan luar kenderaan. Bahkan, jika berlaku kebocoran gas, ia tidak terperangkap sepenuhnya di dalam kenderaan.

INFO: Bagaimana karbon monoksida membunuh?
#
Karbon monoksida - sejenis gas tidak berbau dan berwarna ini yang dilepaskan ekzos kenderaan dan boleh meresap masuk ke dalam kereta apabila berlakunya kebocoran.

#
Ia menjadi racun apabila ia diserap pantas ke dalam saluran darah dan menghalang oksigen dalam badan selain menyebabkan kerosakan pada sistem saraf pusat.

#
Mereka yang menghidap penyakit tertentu seperti penyakit jantung dan paru-paru amat mudah terdedah kepada bahaya gas ini. Begitu juga dengan bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua.

Naz : Kadang2 bawak moto... jimat masa, jimat minyak..

3 comments:

mamai said...

di nasihatkan berehat di tempat yang selamat dan jika penat cari la penganti yang boleh memandu

Farhana said...

Pokcik.. Tolong gantikan saye esok ek sparuh prjalanan.. Mau titon.. Hehehe.. ;)

GhOsToNe said...

tue lew..

kenkadang ak pelik..

nape lew ade budak leh mati bile ibu diew tgglkan diew lam kete beraircond!