Followers

Friday, December 18, 2009

Mengenal Penyakit Fibroid


Mengenal Penyakit Fibroid

Pendahuluan.

Fibroid adalah sejenis ketumbuhan di dalam rahim wanita. Perlu diigatkan bahawa walaupun ianya juga disebut sebagai fibroid tumour, 99% darinya adalah tidak merbahaya dan tidak merebak (tidak seperti cancer). Dengan kata-kata lain ianya adalah benign tumour.(sila rujuk istilah tumour). Nama lain bagi fibroid adalah leiomyoma.

Punca penyakit.

Fibroid kerap terjadi kepada wanita iaitu hampir 20% wanita mempunyainya. Kekerapannya bertambah dengan pertambahan umur. Tetapi kebanyakkannya adalah kecil dan tidak mendatangkan apa-apa tanda.

Otot yang membentuk rahim adalah dari jenis yang dipanggil “smooth muscle”. Fibroid berasal dari ketumbuhan yang terjadi pada otot tersebut. Kedudukannya adalah samaada:-

1) Didalam dinding rahim sendiri (intramural) - tidak memberi apa-apa kesan.kecuali jika saisnya amat besar.

2) Melekat dan bergantung pada luar rahim (subserous/subperitoneal) - Boleh menyebabkan kesakitan dan boleh menekan pundi kencing (menyebabkan kerap membuang air kencing ataupun tidak boleh membuang air kencing bergantung kepada kedudukannya) dan mendatangkan sakit pinggang. Jikalau amat besar boleh menghalang pembesaran bayi ketika hamil.

3) Melekat dan bergantung kearah dalam dinding rahim (submucous) - Hanya 5% adalah jenis ini. Ia biasanya membawa masalah iaitu pendarahan yang banyak (darah istihadah), kerap dan menyebabkan keguguran. Jenis inilah yang biasanya dikenali kerana masalah yang disebabkan olehnya.

Pembesaran fibroid bergantung kepada sejenis hormon wanita yang dipanggil oestrogen. Hormon ini bertambah ketika mengandung dan juga terdapat dalam kebanyakan pil perancang keluarga. Kerana itulah fibroid membesar ketika mengandung dan ketika memakan pil ini. Makanan yang mengandungi cholestrol tinggi boleh meninggikan kandungan hormon ini.

Kadang-kadang fibroid boleh mereput secara tiba-tiba (red degeneration), terutama sekali ketika mengandung dan menyebabkan pendarahan yang banyak, kesakitan dan demam. Sekali-sekala ia boleh mengeras (calcify) iaitu bahan galian didalam badan memasukinya dan menjadikannya keras seperti batu. Setelah putus haid, pengeluaran hormon oestrogen terhenti jadi fibroid boleh mengecil dan tidak lagi memberi masalah kepada pesakit.

Rawatan.

Dukacita dimaklumkan pilihan rawatan tidak banyak dan tidak begitu menyenangkan hati. Jikalau ia benar-benar mendatangkan masalah dan pesakit sudah mempunyai ramai anak, pembedahan pembuangan rahim boleh dilakukan. Bagi wanita muda yang menggunakan pil perancang oestrogen, ianya akan ditukar kepada jenis lain.

Selain dari itu, keadaan seperti “putus haid” boleh dibuat menggunakan sejenis ubat yang dinamakan LHRH analogues untuk mengecutkan fibroid. Masalahnya ia mempunyai kesan sampingan (menyebabkan osteoporosis) dan kesan lain, jadi nasihat pakar amat diperlukan. Masalah lain ialah fibroid boleh tumbuh semula apabila ubat ini dihentikan.

Fibroid boleh dibuang dengan pembedahan (bergantung kepada kedudukannya) tetapi jika berlaku pendarahan yang tidak terkawal ketika pembedahan, doktor terpaksa membuang terus kesemua rahim pesakit. Satu ketika dahulu teknik pencucian rahim (dilatation and currettage, D&C) digunakan sebagai rawatan, tetapi oleh kerana kajian menunjukkannya tidak berkesan jadi kebanyakan pusat rawatan moden tidak lagi melakukannya.

Ramalan

Setelah putus haid, pengeluaran hormon oestrogen terhenti jadi fibroid boleh mengecil dan tidak memberi masalah kepada pesakit.